Jangkitan Covid-19 meningkat, jemaah masjid, surau digalak pakai pelitup muka di Terengganu

Angka pesakit Covid-19 yang meningkat secara mendadak menyebabkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menasihatkan agar jemaah yang hadir ke masjid serta surau di Terengganu untuk mengenakan pelitup muka.

Maidam yang menjalin kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bertindak demikian bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan jemaah.

Menurut Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, antara langkah awal yang akan diambil ialah mengalakkan pemakaian pelitup muka dalam kalangan ahli kariah yang bersolat jemaah di rumah ibadat Islam berkenaan.

Tambahnya, pihak mereka turut akan membantu JKNT bagi meningkatkan lagi kesedaran penduduk negeri ini mengambil dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 terutama dalam kalangan golongan rentan dan berisiko tinggi.

“Maidam akan mengadakan mesyuarat dengan JKNT pada Khamis ini (esok) berhubung situasi semasa Covid-19 di Terengganu.

“Kalau boleh kita mahu semua imam dan bilal masjid dan surau di negeri ini mengambil dos penggalak ketiga vaksin Covid-19,” katanya memetik Kosmo.

Shaikh Harun berkata, pengambilan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 dalam kalangan imam dan bilal itu diharap dapat menjadi tauladan terhadap masyarakat untuk mengikut jejak sama.

Jelas beliau, semua saranan tersebut termasuk galakan pemakaian pelitup muka bertujuan meminimumkan penularan Covid-19 dalam kalangan penduduk negeri ini.

“Kita bukan mahu menyusahkan jemaah tetapi demi menjaga kesihatan awam,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat