JOHOR BAHRU: Sebuah premis memproses produk plastik daripada bahan terpakai di kawasan Seelong dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Tindakan itu diambil hasil pemeriksaan rutin pasukan penguat kuasa Unit Penguatkuasaan Industri JAS Johor Bahru Barat di premis berkenaan.
JAS dalam kenyataan berkata, POK dikeluarkan di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, bagi memberhentikan semua aktiviti basuhan plastik kotor dan operasi mesin pemprosesan plastik.
Menurutnya, tindakan tersebut diambil berikutan kegagalan premis berkenaan menyediakan sistem kawalan pencemaran air dan udara yang memadai, sekali gus berisiko menyebabkan pencemaran alam sekitar.
“Operasi hanya dibenarkan disambung selepas alat kawalan pencemaran air dan udara ditambah baik serta mematuhi sepenuhnya keperluan perundangan,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Selain itu, premis terbabit turut diwajibkan melantik Orang Yang Berwibawa bagi menyelia operasi dan penyelenggaraan alat kawalan pencemaran mengikut garis panduan ditetapkan.
JAS mengingatkan semua pihak industri supaya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan berkaitan bagi mengelakkan sebarang pencemaran yang boleh menjejaskan kesihatan awam.
JAS Johor giat melaksanakan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan ke atas premis industri berisiko tinggi sebagai langkah berterusan memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Baca juga:








