TERENGGANU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menjalankan siasatan berhubung kebakaran hutan melibatkan kawasan tanah gambut seluas kira-kira 32 hektar di Kampung Baru, Kuala Abang, Dungun, Terengganu yang berlaku sejak 22 April lalu.
Dalam kenyataan rasmi, JAS berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu kerana kepulan asap tebal yang terhasil berpotensi menjejaskan kualiti udara serta kesihatan penduduk sekitar termasuk kawasan institusi pendidikan berhampiran.
Sejurus menerima maklumat pada 23 April, JAS telah turun ke lokasi kejadian dan membuka kertas siasatan terhadap pihak disyaki di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Kebakaran ini melibatkan kawasan tanah rizab kerajaan dan menghasilkan asap tebal yang berpotensi menjejaskan kualiti udara serta kesihatan awam.
“JAS akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca serta pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini.
“Jika disabitkan kesalahan, tindakan tegas akan diambil termasuk denda atau hukuman penjara mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Bagi tujuan pemantauan, JAS telah memasang alat pengukur kualiti udara (GRIMM) di kawasan terjejas termasuk di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kuala Abang, selain menggunakan dron untuk menilai keadaan semasa.
Setakat pukul 8 pagi tadi, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) direkodkan pada tahap 88, iaitu kategori sederhana.
Agensi itu turut bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi berkaitan dalam usaha mengawal dan memadam kebakaran.
Orang awam pula dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka memandangkan keadaan cuaca panas dan kering yang boleh memburukkan lagi situasi.








