PETALING JAYA: Pengalaman Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang dibina atas kepelbagaian kaum, bahasa dan agama membuktikan bahawa sikap saling menghormati, kesederhanaan serta kefahaman antara masyarakat adalah asas penting dalam menjamin kestabilan dan kemajuan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pertemuan bersama pimpinan agama dan cendekiawan dari pelbagai negara di sela-sela Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga pada Jumaat, beliau berkongsi pandangan mengenai cabaran mengurus masyarakat majmuk serta kepentingan memperkukuh tradisi ilmu.
“Mengurus sebuah masyarakat majmuk bukan tugas yang mudah, apatah lagi dalam suasana yang sering berdepan pelbagai cabaran dan perbezaan pandangan.
“Namun, saya percaya bahawa sikap saling menghormati, kesederhanaan dan kefahaman antara masyarakat merupakan asas penting dalam menjamin kestabilan serta kemajuan negara,” katanya.
Anwar turut menekankan peri pentingnya nilai, adab dan tradisi keilmuan yang diwariskan oleh para ulama dan agamawan, sama ada berteraskan warisan klasik mahupun pendekatan semasa bagi membimbing masyarakat menghadapi dunia yang semakin kompleks.
Beliau menerima pelbagai pandangan membina mengenai usaha memperluas pendidikan, memperkukuh kefahaman Islam serta membangunkan masyarakat berteraskan ilmu dan nilai kemanusiaan.
Malaysia, katanya, bersedia meneroka ruang kerjasama yang memberi manfaat kepada umat Islam dan masyarakat sejagat.
“Meskipun Malaysia sering dijadikan contoh keharmonian dalam masyarakat majmuk, kita juga tidak terlepas daripada cabaran seperti sentimen perkauman, kebencian berasaskan agama dan bangsa serta pelbagai tohmahan yang cuba memecah-belahkan masyarakat,” jelasnya.
Dalam sesi dialog itu, beliau berkata, jawapan terbaik terhadap kebencian bukanlah kemarahan, sebaliknya kesabaran, kebijaksanaan dan akhlak yang baik.
“Ketika berdepan insiden pembakaran al-Quran misalnya, Malaysia memilih untuk memberikan respons yang positif dengan memperluas usaha mencetak dan mengedarkan sejuta naskhah al-Quran berserta terjemahan dalam pelbagai bahasa,” katanya.
Anwar berharap agar ikhtiar seperti itu dapat terus menyuburkan budaya ilmu, memperkukuh persefahaman antara masyarakat dan menampilkan wajah Islam sebagai agama yang membawa rahmah, keadilan dan ihsan kepada seluruh umat manusia.








