JAWI Larang Guna Lambang Lucah Pada Brek Cakera Motosikal

PETALING JAYA: Pengeluar barangan dan pengguna tidak dibenarkan meletakkan atau menggunakan sebarang lambang lucah pada produk serta barang kegunaan harian, tegas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berkata, pihaknya telah mengambil perhatian berhubung sebuah video yang dimuat naik oleh pengguna media sosial, Shinji Nagato, yang mendakwa terdapat brek cakera (disc brake) motosikal dipasarkan dengan lambang berunsur lucah.

“Sehubungan itu, pihak JAWI akan membuat siasatan lanjut berkaitan perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Ini kerana ia melibatkan pengeluaran barangan yang tidak sopan dan bertentangan dengan tatasusila kita rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Video yang dikongsi di TikTok itu memaparkan imej brek cakera motosikal dengan simbol lucah, sekali gus mencetuskan kebimbangan masyarakat dan desakan agar tindakan segera diambil.

JAWI menegaskan bahawa penggunaan simbol tidak senonoh bukan sahaja mencemarkan imej produk, malah bertentangan dengan nilai moral dan budaya masyarakat Malaysia.

Anda Mungkin Berminat