JOHOR BAHRU: Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (JCS) dan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) sedang meneroka kerjasama bagi mewujudkan program latihan khas untuk meningkatkan ilmu serta keupayaan pegawai dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Inisiatif yang diilhamkan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah itu bertujuan melahirkan pegawai muda yang lebih dinamik dan berkebolehan selaras aspirasi Kerajaan Negeri Johor.
Baginda bertitah, program berkenaan dapat memperkukuh kefahaman pegawai JCS mengenai amalan pentadbiran moden, termasuk proses pembuatan keputusan kerajaan seperti diamalkan di Whitehall, pusat pentadbiran kerajaan England.
“Ilmu ini akan membuka perspektif baharu dan membantu JCS menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik untuk rakyat,” titah baginda kepada Royal Press Office.
Raja Zarith Sofiah bertitah demikian selepas mengadakan lawatan ke OCIS di Oxford pada Khamis, yang turut menyentuh cadangan penyertaan Pegawai Tadbir Agama Johor dalam program sama.
Menurut baginda, OCIS memberi penekanan terhadap aplikasi ilmu Islam dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pembangunan antarabangsa dan sejarah, menjadikan penyertaan pegawai agama sebagai satu nilai tambah.
Baginda turut disambut Pengarah OCIS, Dr Farhan Ahmad Nizami, yang mengetuai institusi penyelidikan Islam yang ditubuhkan pada 1985 dan ditadbir Lembaga Pemegang Amanah global, termasuk Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Pengerusi.
Lawatan itu diiringi Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman; Pengarah Akademi JCS, Datuk Dr Badrul Hisham Kassim; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor, Mohd Farid Mohd Khalid.
Baca juga:








