JDT Melangkah ke Final Piala Malaysia, Johor Isytihar Cuti Peristiwa Isnin depan

PETALING JAYA: Pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025.

Perlawanan akhir yang dinanti-nantikan itu akan menyaksikan JDT menentang Sri Pahang pada Sabtu, 26 April 2025, di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap pencapaian cemerlang pasukan JDT, Kerajaan Negeri Johor telah mengisytiharkan hari Isnin, 28 April 2025, sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Johor.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

“Menjunjung setinggi-tinggi kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku atas visi, perancangan dan usaha luar biasa dalam menjadikan JDT sebuah kelab bola sepak berprestij, bukan sahaja di Malaysia, bahkan kini disegani di rantau Asia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dengan empat gelaran Piala Malaysia yang diraih pada musim 2017, 2019, 2022 dan 2023, JDT kini berada di ambang kejuaraan kelima.

Onn Hafiz turut menyeru seluruh penyokong Harimau Selatan untuk membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan penuh kepada pasukan kebanggaan negeri itu.

“Ayuh seluruh penyokong Harimau Selatan, kita banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, bagi memberikan sokongan penuh dan menjadi pemain ke-12 untuk perlawanan ini.

“Semoga kemenangan milik pasukan JDT!” tambah beliau.

Selain itu, katanya, sambutan penuh gilang-gemilang turut dirancang di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad, 27 April 2025, pukul 8.00 malam, bagi meraikan kejayaan JDT menjuarai Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut.

“Ayuh kita terus gegarkan Stadium Sultan Ibrahim dalam satu sambutan penuh gilang-gemilang untuk ‘Chapter 2: The 11’.

“Mari kita hadir beramai-ramai, kibarkan bendera biru merah dan raikan pasukan kebanggaan kita, Johor Darul Ta’zim,” katanya.

Anda Mungkin Berminat