JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan Selangor FC 3-0 dalam aksi Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi.
Kejayaan itu menyaksikan Harimau Selatan menjulang trofi berprestij tersebut buat kali kelapan berturut-turut sejak 2018.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, JDT hanya memerlukan 59 saat untuk membuka jaringan menerusi sentuhan Jairo Da Silva yang menyempurnakan umpanan Jonathan Silva.
Gol awal itu membangkitkan semangat skuad kendalian Xisco Munoz untuk terus mengasak kubu lawan, namun beberapa gerakan berbahaya daripada Arif Aiman Hanapi dan Joao Figueiredo pada babak pertama tidak berjaya disudahkan.
Arif Aiman hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-40, tetapi sepakan bebasnya ditepis keluar oleh penjaga gol Selangor, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.
Selangor turut memiliki peluang terbaik pada minit ke-42 menerusi percubaan Chrigor Moraes, namun ditepis kemas oleh penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Memasuki babak kedua, Figueiredo dan Bergson Da Silva turut mencuba nasib, tetapi Kalamullah cemerlang menafikan kedua-dua percubaan tersebut.
Namun, benteng Selangor akhirnya roboh pada minit ke-63 apabila tandukan Eddy Israfilov hasil sepakan sudut Arif Aiman menambah jaringan buat JDT.
Sepuluh minit kemudian, Arif Aiman sendiri meledak gol ketiga melalui gerakan solo menewaskan Kevin Deeromram sebelum melepaskan rembatan dari sudut sukar yang gagal diselamatkan Kalamullah.
JDT terus menguasai perlawanan sehingga tamat permainan untuk mencatat kemenangan 3-0 ke atas skuad Gergasi Merah.
Baca juga:








