JDT Sah Juara Liga Super Buat Kali Ke-12 Berturut-Turut

BANDAR SERI BEGAWAN: Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan dominasi dalam bola sepak Malaysia apabila menewaskan DPMM FC 3-0 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei, sekali gus mengesahkan kejuaraan Liga Super musim 2026.

Kemenangan itu bukan sahaja mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini, malah memastikan JDT meraih kejuaraan buat kali ke-12 berturut-turut sejak 2014.

Dengan kelebihan 18 mata di hadapan pencabar terdekat, Selangor FC, baki lima perlawanan liga sudah tidak mampu menggugat kedudukan skuad Harimau Selatan.

Aksi malam tadi menyaksikan Ager Aketxe membuka tirai jaringan melalui sepakan percuma yang cantik pada minit ke-33, sebelum Bergson da Silva dan Nacho Mendez menambah dua lagi gol untuk melengkapkan kemenangan bergaya.

Walaupun terdapat dua gol yang dibatalkan pengadil masing-masing untuk JDT dan DPMM FC, rentak permainan tetap dikuasai sepenuhnya oleh anak buah Hector Bidoglio.

Sejak 2014, JDT tidak pernah melepaskan takhta Liga Super, menjadikan mereka satu-satunya kelab di Malaysia yang mampu mengekalkan rekod juara berturut-turut dalam tempoh lebih sedekad.

Kejayaan itu sekali lagi menegaskan keupayaan kelab itu membina ekosistem bola sepak profesional, daripada akademi pemain muda hingga fasiliti moden di Stadium Sultan Ibrahim.

Dominasi JDT turut memberi kesan besar kepada landskap bola sepak negara.

Anda Mungkin Berminat