JOHOR BAHRU: Kuasa besar Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), terus memperkukuh barisan pemain menjelang musim baharu apabila mengumumkan kehadiran penyerang Brazil berpengalaman, Jairo Da Silva, sebagai rekrut terbaharu mereka.
Kehadiran pemain berusia 33 tahun itu diumumkan secara rasmi melalui hantaran video di laman Facebook Johor Southern Tigers, menampilkan Jairo dengan jersi bernombor 11 sambil tersenyum penuh yakin.
“Saya sudah bermain di Amerika Selatan, Eropah dan kini saya bersedia menghadapi cabaran baharu di Asia.
“Saya gembira menjadi sebahagian daripada keluarga JDT,” kata Jairo dalam video tersebut.
Jairo sebelum ini menjadi tunggak utama dalam kejayaan Pafos FC merangkul kejuaraan Liga Cyprus buat kali pertama dalam sejarah kelab dengan sumbangan 10 gol dan 5 bantuan jaringan.
Beliau juga pernah beraksi di pentas Eropah bersama PAOK Salonika (Greece), Hajduk Split (Croatia) dan turut membawa pengalamannya dari tanah airnya menerusi Botafogo (Brazil).
Ketibaan Jairo menjadikannya pemain import kedua yang diumumkan JDT selepas kemasukan pertahanan tengah Sepanyol, Antonio Glauder yang memperlihatkan keseriusan Harimau Selatan untuk terus mendominasi saingan domestik dan antarabangsa.








