PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mencipta sejarah dalam arena bola sepak Malaysia dengan memenangi kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut.
Kemenangan itu disahkan setelah menewaskan Perak FC 2-0 dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.
Gol pertama JDT dijaringkan oleh Jesé Rodríguez Ruiz pada minit ke-45.
Kemenangan JDT dinoktahkan dengan jaringan sepakan penalti oleh Jorge Obregón pada minit ke-64.
Dengan 58 mata terkumpul selepas 20 perlawanan, JDT berada jauh di hadapan pencabar terdekat mereka, Selangor FC yang hanya mengumpul 42 mata.
Kejayaan itu mengukuhkan lagi kedudukan JDT sebagai kuasa dominan dalam bola sepak Malaysia sejak 2014.
Tidak cukup dengan itu, JDT kini memburu trofi Piala Malaysia dan akan bertemu Sri Pahang FC pada perlawanan akhir yang dinanti-nantikan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 April depan.