Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar menyarankan 300 jemaah haji yang terkandas di Mekah untuk menghubungi Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi mendapatkan khidmat nasihat.
Beliau berkata demikian ekoran kejadian yang menimpa bakal jemaah haji yang terkandas di Mekah akibat terpedaya dengan tawaran murah yang ditawarkan agensi-agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

“Tabung Haji (TH) telah melakukan penelitian untuk siasatan lebih lanjut ekoran kejadian yang menimpa 300 bakal jemaah haji yang terkandas di Mekah.
“Ini bukan pertama kali jemaah-jemaah haji di Malaysia terpedaya dengan tipu helah agensi haji yang tidak dilesenkan TH.
“Umat Islam di Malaysia adalah dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat yang dilantik sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) oleh pihak TH sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau juga turut mengingatkan kepada mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Untuk info, pihak TH juga telah melantik 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai PJH bagi Musim Haji 1445H/2024M dan ini adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun.
Baca juga: