Jemaah Malaysia Meninggal Dunia di Tanah Suci, Waris Terima Perlindungan

PETALING JAYA: Seorang jemaah haji Malaysia, Norizah Tambonan Nordin, 47, dari Batu Pahat, Johor, telah kembali ke rahmatullah di Hospital Jiwar, Makkah akibat serangan jantung.

Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga almarhumah serta mengumumkan bantuan awal sebanyak RM1,500 yang telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TH dalam kunjungan ke kediaman keluarga di Batu Pahat.

“Pusat Maklumat Operasi Makkah telah memaklumkan kematian kepada waris di tanah air dan menguruskan segala keperluan termasuk urusan pengebumian di Tanah Suci,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam perkembangan lain, katanya, keluarga almarhumah akan menerima manfaat penuh daripada pelan perlindungan Khairat Haji TH yang dilanggan.

Tambah Dr Na’im, memandangkan beliau meninggal dunia di Tanah Suci, perlindungan takaful yang dilanggan memberi manfaat berganda dengan waris menerima keseluruhan jumlah sebanyak RM48,000.

“Ini adalah sebahagian daripada perlindungan takaful haji yang dilanggan oleh almarhumah.

“Baki akan disalurkan setelah kelulusan pihak takaful diperoleh,” jelasnya.

Sebagai penghormatan kepada almarhumah, Tabung Haji turut berjanji untuk melaksanakan ibadah badal haji bagi pihaknya bagi memastikan tanggungjawab ibadahnya tetap terlaksana meskipun telah dijemput Ilahi.

“Marilah kita sama-sama mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah dan menganugerahkan kesihatan serta haji yang mabrur,” katanya.

Anda Mungkin Berminat