PUTRAJAYA: Jemaah Menteri pada Jumaat memutuskan supaya Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi penelitian lanjut berhubung usul yang dibangkitkan di Dewan Rakyat.
Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, usul berkaitan akan disesuaikan bagi membolehkan rujukan rasmi dilakukan mengikut peraturan Dewan.
Katanya, langkah itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak ketika sesi perbahasan berlangsung di Dewan Rakyat.
“Keputusan ini juga bagi memastikan Ahli Parlimen terlibat diberikan ruang untuk didengar dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Azalina berkata, jawatankuasa tersebut mempunyai mandat khusus untuk meneliti isu berkaitan termasuk membuat dapatan menurut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Beliau turut menegaskan keyakinan kerajaan bahawa penelitian akan dijalankan dengan penuh integriti, kebebasan dan tanggungjawab.
“Kerajaan MADANI kekal komited memelihara kewibawaan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara,” katanya lagi.
Terdahulu, Dewan Rakyat menangguhkan usul untuk menggantung Takiyuddin berhubung kenyataannya yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan peristiwa Memali.








