PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang diumum kerajaan bagi meningkatkan tahap tanggungjawab platform digital dalam menangani ancaman siber.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, penguatkuasaan akta berkenaan amat signifikan memandangkan jenayah dalam talian kini semakin serius dan memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, berdasarkan rekod PDRM, kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian mencecah RM2.77 bilion bagi tempoh Januari 2023 hingga November 2025.
“Dalam tempoh yang sama, kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian turut menunjukkan peningkatan membimbangkan dengan 688 kes direkodkan dari Januari 2021 hingga November 2025.
“Selain itu, sebanyak 351 kes berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) direkodkan dari Januari 2021 hingga Oktober 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Khalid berkata, pelaksanaan ONSA akan memastikan platform digital lebih bertanggungjawab dalam mengekang penyebaran kandungan berbahaya, menutup ruang operasi penjenayah siber serta memperkukuh tindakan terhadap eksploitasi kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyalahgunaan identiti dan kandungan berunsur ekstremisme.
Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan komitmen kerajaan untuk melindungi rakyat dan menjamin keselamatan mereka dalam persekitaran siber yang semakin mencabar.

Menurutnya, PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kementerian berkaitan serta penyedia platform digital menerusi pendekatan whole-of-government.
“Kerjasama ini penting bagi memastikan tindakan terhadap jenayah siber dapat dilaksanakan secara lebih pantas, tersusun dan berkesan.
“Seiring pelaksanaan ONSA, PDRM komited untuk memperkukuh kesiapsiagaan dalaman melalui peningkatan keupayaan pemantauan digital, penambahbaikan proses siasatan serta pengukuhan perkongsian maklumat strategik tanpa menjejaskan keselamatan operasi,” katanya.
Mohd Khalid yakin undang-undang baharu itu mampu memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan integriti ruang digital negara serta memastikan keselamatan generasi akan datang dalam menghadapi landskap siber yang semakin kompleks.
Terdahulu, ONSA yang memperuntukkan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga, telah berkuat kuasa hari ini.
Baca juga:








