Jenazah peserta Ekspedisi Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat, Allahyarham Zulkifli Yusuf, 37, selesai menjalani bedah siasat, pada Isnin.
Kelab Jelajah Alpine Malaysia dalam satu kenyataan berkata, jenazah Allahyarham ditempatkan di rumah mayat untuk proses membawa pulang jenazah ke Malaysia.
Ujarnya, proses membawa pulang jenazah akan dilakukan dengan kerjasama pihak syarikat insuran, agen pengurusan jenazah, pihak Konsular General di Los Angeles dan wakil Kelab Jelajah Alpine.
“Setakat ini jadual penerbangan pulang dijangka dalam masa dua hari selepas selesai semua dokumen.
“Proses kafan dan solat jenazah adalah dengan kerjasama Islamic Community Center of Anchorage di Alaska dan dijadualkan pada Khamis pukul 1.30 petang (waktu tempatan),” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Kelab Jelajah Alpine Malaysia turut memaklumkan, pendaki Illaham Ishak masih di hospital di Anchorage untuk rawatan kerana mengalami ‘frostbite’ (kecederaan tisu).
“Bagi pendaki Zainudin Lot pula, beliau telah dibenarkan keluar dari hospital dan kini membantu proses membawa pulang jenazah.
“Kami akan maklumkan butiran penerbangan yang membawa jenazah Allahyarham Zulkifli Yusof setelah mendapat ketetapan dari pihak berkenaan,” ujarnya.
Sebelum ini, seorang pendaki Malaysia maut, manakala dua lagi selamat selepas terkandas selama tiga hari di Gunung Denali, Alaska, Amerika Utara.
Allahyarham Zulkifli disahkan meninggal dunia pada 6 pagi hari Rabu (waktu tempatan) semasa berlindung di snow cave di kawasan dikenali sebagai Football field di ketinggian 19,700 kaki dari aras laut.
Punca kematian disyaki akibat High Altitud Cerebral Edema dan Hyporthermia dan akan disahkan melalui post mortem.
Baca juga: