PETALING JAYA: Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 kini hampir mencapai tahap siap sepenuhnya dengan pencapaian 99.1 peratus setakat 31 Disember 2025, sekali gus menandakan kemajuan besar dalam usaha kerajaan memperkukuh infrastruktur digital negara.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, menerusi JENDELA Fasa 1 dan Fasa 2, penambahbaikan liputan serta kesalinghubungan Internet dilaksanakan secara menyeluruh termasuk di tujuh kawasan tumpuan utama iaitu institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kawasan pelancongan, stadium, lokasi acara, kem tentera, hospital dan lebuh raya.
Menurut MCMC, sebanyak 1,661 menara komunikasi baharu dirancang dibina melalui pendekatan perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN) menggunakan model Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN).
Daripada jumlah itu, 1,646 menara telah siap, manakala 1,618 daripadanya beroperasi sepenuhnya bagi perkhidmatan 2G dan 4G.
“Keseluruhan pembinaan menara ini dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2026,” katanya.
Selain itu MCMC berkata, bilangan premis yang diliputi rangkaian turut melonjak ketara daripada 4.96 juta premis sebelum JENDELA kepada 9.81 juta premis setakat Disember 2025, sekali gus melepasi sasaran sembilan juta premis yang ditetapkan kerajaan.
Prestasi kelajuan internet juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila kelajuan median muat turun jalur lebar mudah alih mencapai 143.70 Mbps, melebihi sasaran yang ditetapkan.
Pada masa sama, liputan internet di kawasan berpenduduk meningkat daripada 91.8 peratus kepada 99.71 peratus.
MCMC berkata, pencapaian itu disokong oleh inisiatif pembangunan rangkaian oleh Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) termasuk pembinaan infrastruktur 4G baharu, penaiktarafan tapak sedia ada serta manfaat perkongsian infrastruktur menerusi MOCN.








