Jendela Pacu Ekonomi Digital: Rapat jurang bandar, luar bandar

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) telah terbukti menjadi tonggak utama dalam memperkasa ekonomi digital negara dengan sektor e-dagang menjadi peneraju pertumbuhan.

Ketersediaan jaringan internet berkelajuan tinggi bukan hanya memacu aktiviti perniagaan tetapi juga membuka peluang tanpa sempadan kepada rakyat Malaysia.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Ida Md Yasin, infrastruktur komunikasi yang menyeluruh hingga ke kawasan luar bandar adalah kunci kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang pesat.

Katanya, lebih daripada 90 peratus perniagaan di Malaysia adalah PKS, menjadikan perkembangan ekonomi digital satu peluang besar untuk inklusiviti ekonomi.

“Jaringan internet yang stabil bukan sahaja keperluan tetapi asas utama bagi PKS untuk menjangkau pelanggan di seluruh negara, malah di peringkat antarabangsa.

“Ini membuka ruang ekonomi digital yang lebih inklusif,” katanya.

Dr Ida turut menekankan bahawa Jendela menyokong sektor pekerjaan baharu dalam teknologi digital seperti pengaturcaraan dan pembangunan sistem, trend yang semakin relevan di kalangan belia Malaysia.

“Anak muda kita perlu mengambil peluang dalam bidang digitalisasi yang kini menjadi permintaan global.

“Ia bukan sahaja memacu ekonomi tetapi menawarkan peluang pekerjaan yang berkualiti,” ujarnya.

Beliau berkata, keusahawanan dan produktiviti turut mendapat manfaat besar daripada pelaksanaan Jendela.

Kata Dr Ida, rakyat kini boleh bekerja dari rumah dengan efisien, sekali gus mengurangkan kos pengangkutan dan penempatan yang mahal di bandar.

Malah katanya, akses kepada pendidikan dan kesihatan secara dalam talian, yang semakin popular, menyumbang kepada pembangunan sosial yang lebih seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Capaian internet yang meluas memungkinkan mereka di luar bandar untuk belajar secara maya dan mendapatkan konsultasi kesihatan secara dalam talian.

“Ini adalah langkah besar untuk mengurangkan jurang sosial dan ekonomi,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa penerapan Jendela secara menyeluruh amat penting dalam memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmati faedah ekonomi digital tanpa pengecualian.

Anda Mungkin Berminat