Jentera Parti Penghubung Penting Antara Kerajaan, Rakyat – Anwar

JOHOR BAHRU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Johor Bahru hari ini untuk bersama keluarga besar parti dalam Konvensyen PKR Negeri Johor, dengan mesej jelas bahawa semangat kebersamaan mesti terus diperkukuh merentas semua lapisan.

Dalam ucapannya, Anwar menekankan bahawa PKR Johor perlu kekal sebagai parti yang matang, berdisiplin dan teguh setia kepada amanah perjuangan reformasi sejak penubuhannya.

“PKR Johor mesti terus memperkukuh semangat kebersamaan merentas semua lapisan tanpa mengira pangkat agar kekal sebagai parti yang matang, berdisiplin dan teguh setia kepada amanah perjuangan reformasi yang kita junjung sejak penubuhannya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Johor telah melahirkan ramai pemimpin yang diberi mandat sebagai Ahli Parlimen untuk membawa suara rakyat khususnya dalam menangani kos sara hidup dan isu-isu semasa.

Amanah dan kepercayaan itu, katanya, harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat dan negara dengan menggerakkan jentera hingga ke akar umbi, bukan untuk kepentingan peribadi.

Tambah beliau, tatkala negara mendepani cabaran semasa termasuk krisis di Asia Barat, Anwar menyeru agar semua pihak memanfaatkan ruang yang ada untuk memperjelas dan menyebarluaskan usaha Kerajaan MADANI dalam melindungi kebajikan rakyat.

“Saya menyeru agar semua pihak memanfaatkan ruang yang ada untuk memperjelas dan menyebarluaskan usaha Kerajaan MADANI dalam melindungi kebajikan rakyat termasuk pelaksanaan langkah bersasar berkaitan subsidi bahan api, jaminan bekalan asas yang mencukupi serta usaha berterusan memperkukuh daya tahan ekonomi negara agar kekal stabil dan berdaya saing,” katanya.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan setiap dasar dan inisiatif benar-benar sampai ke peringkat rakyat, dirasai manfaatnya dan tidak tersasar daripada matlamat asal.

“Justeru, peranan jentera parti di semua peringkat amat penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat menyampaikan maklumat yang tepat, meredakan keresahan serta memperkukuh keyakinan terhadap hala tuju negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat