Jepun nyata sokongan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025

Oleh: Syahirah Harish

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Jepun telah menyatakan sokongan penuh terhadap Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Pengumuman itu dibuat selepas pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba di sela-sela Sidang Kemuncak APEC 2024.

Anwar berkata, pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk membincangkan isu-isu serantau penting seperti situasi di Laut China Selatan dan Myanmar.

“Kami menyentuh isu-isu kepentingan bersama termasuk Jepun menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” kata Anwar.

Selain itu, pertemuan tersebut juga menilai kemajuan kerjasama dua hala dalam bidang strategik seperti perdagangan, peralihan tenaga, pertahanan, pendidikan dan pembangunan unsur nadir bumi (REE).

Anwar turut mengundang Shigeru Ishiba untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat sebagai usaha memperkukuh hubungan diplomatik.

“Saya berharap agar hubungan Malaysia dan Jepun terus diperkasa sekali gus dapat menarik minat lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, dilaporkan perdagangan Malaysia dengan Jepun dijangka melonjak tahun ini, didorong oleh pelaburan khususnya dalam sektor semikonduktor dan tenaga boleh baharu.

Jepun menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut.

Perdagangan dengan Jepun pada tahun lalu berjumlah kira-kira RM35 bilion. Satu pertiga daripada perdagangan ini membabitkan gas asli cecair (LNG).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat