KUALA LUMPUR: Beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia kini dilanda fenomena jerebu rentas sempadan, menurut kenyataan rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), hari ini.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan itu dijangka berterusan dalam tempoh beberapa hari susulan tiada perubahan arah tiupan angin serta ketiadaan cuaca hujan yang mampu membantu mengurangkan kesan pencemaran atmosfera.
“MET Malaysia tidak menjangkakan sebarang cuaca hujan atau perubahan arah tiupan angin bagi mengurangkan kesan jerebu berkenaan dalam tempoh beberapa hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang awam dinasihatkan agar tidak melaksanakan sebarang bentuk pembakaran terbuka.
“Orang awam dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka memandangkan ia boleh menyebabkan keadaan jerebu bertambah buruk dan pencemaran terhadap alam sekitar,” katanya.
Kata Dr Mohd Hisham, jabatannya turut menggalakkan orang ramai agar sentiasa mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini melalui saluran rasmi.
“Teruskan mengikuti media sosial rasmi dan laman web kami di www.met.gov.my untuk informasi cuaca terkini yang pantas dan tepat.
“Muat turun aplikasi myCuaca di Google Play dan App Store untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih hanya di MET Malaysia,” ujarnya.