JHEAINS Siasat Dua Beranak Indonesia Dakwa Berjalan ke Makkah Melalui Jalan Sabah

LAHAD DATU: Dua beranak warga Indonesia yang mendakwa sedang berjalan kaki dari negara asal mereka ke Makkah melalui negeri Sabah telah ditahan di Lahad Datu, malam kelmarin.

Ia susulan keresahan orang awam terutama di media sosial.

Menurut laporan media tempatan, pasangan tersebut ditahan sepasukan polis sebelum dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Lahad Datu untuk sesi soal siasat.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Mardi Arifin memaklumkan bahawa kedua-duanya ditemui ketika cuba bermalam di salah sebuah masjid di daerah tersebut.

“Bertindak atas maklumat orang ramai dan video mereka yang tular di media sosial ketika tiba di Lahad Datu, kami dengan kerjasama pihak polis telah berjumpa mereka untuk sesi soal siasat,” katanya.

Hasil siasatan mendapati mereka memiliki dokumen perjalanan sah dan beralamat di Bulukumba, Indonesia.

Mereka mendakwa sedang berjalan kaki menuju ke Makkah untuk menunaikan umrah.

“Berdasarkan maklumat dan siasatan, mereka ini mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan mendakwa sedang berjalan kaki dalam perjalanan ke Makkah untuk tujuan umrah,” tambah Mardi.

Namun, katanya, tindakan mereka menimbulkan keraguan pihak berkuasa terutama kerana laluan yang diambil tidak masuk akal dan ibadah umrah tidak wajib bagi individu yang tidak berkemampuan.

Tambahan pula, beliau berkata, pasangan tersebut membuat siaran langsung di TikTok dan YouTube serta mengakui menerima sumbangan orang ramai sepanjang perjalanan dari Tawau ke Lahad Datu.

“Pihak kami mensyaki sesuatu yang tidak kena dan menasihati kedua beranak ini agar segera menghentikan tindakan ini kerana ia boleh mengundang fitnah pada agama Islam di daerah ini dan seluruh Sabah,” tegasnya.

Tambah beliau, pasangan itu akur dengan nasihat yang diberikan dan dihantar ke terminal bas untuk kembali ke Tawau.

“Mereka berdua berjanji akan pulang segera ke Indonesia dan tidak akan meneruskan hasrat perjalanan ke Makkah melalui Sabah bermula dari Tawau ke seluruh negeri ini,” katanya.

JHEAINS turut menggesa masyarakat agar lebih berwaspada dalam memberi sumbangan terutamanya dalam bentuk fizikal dan digital seperti ‘gift’ TikTok, supaya tidak dimanipulasi untuk kepentingan peribadi.

“Kami juga ingin menasihatkan orang ramai khususnya agar tidak mudah memberikan sebarang bentuk sedekah… agar tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu bagi tujuan peribadi,” katanya.

Sementara itu, sumber dari media Indonesia dan semakan melalui akaun TikTok pasangan tersebut menunjukkan mereka telah berjalan merentasi beberapa daerah seperti Riau, Pinrang, Makassar dan Nunukan, sebelum memasuki Malaysia melalui Tawau dan meneruskan perjalanan ke Lahad Datu.

Anda Mungkin Berminat