Jijik dengan penemuan siasatan GISBH – Pengarah JSJ

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain meluahkan rasa jijik dengan penemuan siasatan kes Op Global membabitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Beliau berkata demikian dalam satu video ringkas ketika ditanya wartawan Berita Harian.

“Seperti biasa, saya tak boleh bercakap banyak dan saya pun tak akan komen banyak.

“Apa yang saya boleh cakap hanyalah, kes ini, saya jijik dengan penemuan siasatan. Itu saja, terima kasih,” katanya tanpa mengulas lebih lanjut.

Shuhaily ditemui selepas sidang media khas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkaitan perkembangan siasatan Op Global di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada 12 September lalu, media melaporkan polis memaklumkan ratusan kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISB di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Susulan itu, seramai 171 individu yang ditahan dalam Op Global di Selangor dan Negeri Sembilan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes eksploitasi kanak-kanak.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu dakwaan jenayah serta penganiayaan kanak-kanak berkaitan dengan rumah amal GISBH.

Seri Paduka Baginda bertitah, perkara berkaitan akidah umat Islam seharusnya dipelihara setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan.

Anda Mungkin Berminat