Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Sekiranya benar terdapat ancaman luar dan watak pengkhianat dari dalam negara, Polis digesa untuk menjalankan siasatan menyeluruh serta mendedahkan individu berpengaruh serta agensi media antarabangsa yang didakwa cuba menjatuhkan kerajaan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim berkata ancaman tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh soal kedaulatan serta maruah negara dan bukan sekadar polemik atau rengekan biasa.
“Kita memandang serius mengenai dakwaan wujudnya usaha melibatkan firma asing untuk memberi tekanan terhadap sendi dan institusi negara.
“Sekiranya benar, ia merupakan ancaman luar yang tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi jika terdapat watak pengkhianat dari dalam yang sanggup bersekongkol demi kepentingan peribadi.
“Perkara ini menyentuh secara langsung soal kedaulatan dan maruah negara, dan tidak sekadar polemik atau rengekan biasa,” katanya menerusi kenyataan di laman X pada Sabtu.
Kamil turut menegaskan bahawa rakyat wajar mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan menyeluruh dan mendedahkan petualang terlibat serta yang bersubahat tanpa mengira kedudukan.
Kata beliau, rakyat berhak mengetahui kebenaran, dan negara tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang sanggup memperdagang kedaulatan serta maruah negara demi apa saja kepentingan yang merosakkan.
Sebelum ini, Malaysia dihangatkan dengan isu sebuah keluarga berpengaruh tempatan didakwa mendalangi komplot untuk menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan media antarabangsa serta pelobi luar negara.
Dakwaan itu terkandung dalam satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini. Laporan itu kini tular di media sosial.
Pengadu dalam laporan itu mendakwa gerakan berkenaan membabitkan ahli keluarga terdekat seorang bekas menteri yang mempunyai pengaruh besar dalam landskap politik dan ekonomi negara suatu ketika dahulu.
Berdasarkan kandungan laporan polis yang tular itu, pengadu mendakwa wujud rancangan oleh keluarga terbabit yang dikatakan didalangi isteri kepada seorang bekas menteri untuk menggunakan beberapa platform media antarabangsa bagi membentuk tekanan terhadap kerajaan di peringkat global.
Baca juga:








