‘Jika harga kotak lebih mahal daripada kurma, itu pembaziran’ – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penjawat awam untuk tidak bermewah-mewahan sepanjang Ramadan sekali gus menyebabkan pembaziran.

Kata beliau, sebaiknya sepanjang bulan ini, setiap agensi dan kementerian perlu mengambil sikap bersederhana supaya roh dan semangat Ramadan itu benar-benar dapat dihayati.

“Saya perhatikan kadang-kadang jabatan, agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan memulakan bulan Ramadan dengan memberi sumbangan, itu kita galakkan.

“Tetapi kadang-kadang perkakasan yang digunakan itu berlebih-lebihan, kotak-kotak yang sangat indah, tetapi isi hanya kurma.

“Jadi kalau harga kotak itu lebih mahal daripada kurma, bagi saya itu satu pembaziran.

“Tidak perlu sangat untuk kita tunjukkan kemewahan kerana dana itu boleh digunakan untuk memberi lebih manfaat kepada yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mac tahun 2025 di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri pada Isnin.

Tambah beliau, Ramadan merupakan bulan untuk mengukuhkan keyakinan dan ibadah kepada Allah SWT, selain memupuk integriti, disiplin dan kejujuran dalam kegiatan hidup umat Islam supaya menjadi lebih insaf.

Sementara itu, Anwar turut mengajak penjawat awam supaya membudayakan pembacaan, kefahaman dan mesej di dalam al-Quran sepanjang bulan Ramadan.

“Ia bertepatan dengan Ramadan yang merupakan bulan diturunkan al-Quran dan kitab suci itu juga adalah petunjuk kepada umat Islam dalam membuat pertimbangan antara yang baik dan buruk dalam kehidupan,” kata beliau.

Anda Mungkin Berminat