‘Jika Tak Cukup Sokongan, Tunggu PRU’, Anwar Beritahu Pembangkang

BATU KAWAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan tegas kepada pengkritik pentadbirannya dengan menyeru agar mereka menggunakan saluran demokrasi yang sah jika ingin mencabar kedudukan kerajaan.

Dalam ucapannya sempena Minggu Perpaduan Nasional di Stadium Batu Kawan, beliau mencadangkan kepada pembangkang untuk membawa usul di Dewan Rakyat.

“Bawa usul hilang kepercayaan di Parlimen. Jika tak cukup sokongan, tunggu pilihan raya.

“Jangan guna demonstrasi atau hasutan,” katanya.

Kenyataan ini hadir menjelang perhimpunan ‘Turun Anwar’ yang dirancang oleh pembangkang pada 26 Julai dengan jangkaan kehadiran sehingga 300,000 peserta.

Anwar berkata, untuk membina negara memerlukan masa dan sebarang usaha menjatuhkan kerajaan harus melalui proses demokrasi dan bukan tekanan luar institusi.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar berwaspada terhadap suara kebencian termasuk dari segelintir tokoh agama, sambil memuji keikhlasan ramai ulama yang beliau temui dari Indonesia, Maghribi, Syria dan India.

“Ramai ulama ikhlas. Semalam (Jumaat) saya bertemu ulama dari Indonesia, Maghribi, Syria dan India, semuanya memberi nasihat yang baik,” ujarnya.

Anwar juga berkata, kestabilan politik adalah kunci kepada pelaburan dan pertumbuhan ekonomi, sambil memaklumkan bahawa pemimpin dari Amerika Syarikat, China, Rusia, negara Teluk, Brazil dan Afrika Selatan telah menyatakan hasrat untuk hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

Anda Mungkin Berminat