PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius penemuan isu kekerasan serta penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan oleh beberapa pegawai jabatan itu pada tahun 2020 hingga 2021.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban menegaskan bahawa jabatan itu sentiasa mematuhi piawaian antarabangsa dalam pengurusan depot imigresen, termasuk United Nation Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (The Nelson Mandela Rules) dan International Committee of the Red Cross (ICRC) – Healthcare in Detention.
Selain itu, ia juga mengikut garis panduan tempatan seperti Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003 serta Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen.
“JIM mempunyai sebanyak 25 depot imigresen, termasuk Baitul Mahabbah yang meliputi 18 depot imigresen sedia ada, dua depot imigresen sementara dan lima Baitul Mahabbah.
“Justeru, JIM tidak akan berkompromi dengan apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa oleh pegawai,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan hasil siasatan EAIC berhubung insiden pelarian 131 tahanan etnik Rohingya dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB) pada 1 Februari lalu.
Laporan itu mendedahkan bahawa beberapa pegawai JIM terlibat dalam kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya, yang berlaku antara 2020 hingga 2021 semasa mereka ditahan di Kem Wawasan Langkawi sebelum dipindahkan ke depot imigresen lain, termasuk DISB.
Pegawai terbabit, termasuk dua yang pernah berkhidmat di Kem Wawasan Langkawi, didapati melakukan kekerasan melampau dan penderaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal serta mental terhadap tahanan.
EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JIM.
Mengulas lanjut, Zakaria menyatakan bahawa JIM sedang menunggu laporan penuh daripada EAIC untuk membolehkan tindakan lanjut diambil.
“Sekiranya didapati terdapat unsur kekerasan dan penderaan, JIM akan mengambil tindakan keras terhadap pegawai terbabit berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” tambahnya.
Baca juga: