JIM berkas 20 PATI di stesen bas Bukit Mertajam

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya memberkas 20 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) selepas melakukan serbuan di terminal bas Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Ahad.

JIM Pulau Pinang menerusi satu kenyataan berkata, pada operasi kira-kira pukul 2.30 petang itu, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 198 warga asing termasuk yang berada di dalam bas.

Menurut kenyataan itu, seramai 20 PATI berumur lingkungan 6 hingga 45 tahun telah ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

“Pemeriksaan awal mendapati PATI berkenaan tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah serta ada yang telah tinggal lebih masa.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Nepal, Indonesia, Bangladesh dan Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, semua tangkapan warganegara asing terbabit akan ditahan dan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Juru bagi siasatan lanjut.

Justeru itu, JIM Negeri Pulau Pinang akan terus menjalankan pemeriksaan di mana-mana premis dalam usaha mengesan dan membanteras PATI.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat