Pegawai Imigresen tidak boleh tolak permohonan pasport jika pelanggan gagal kuasai bahasa Melayu – JIM

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan bahawa seorang lelaki telah dapat memperbaharui pasport ibunya dan mengambilnya di Pejabat Pusat Transformasi Bandar (UTS) Pulau Pinang pada Isnin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata perkara tersebut merupakan susulan daripada kekecewaan yang diluahkan oleh lelaki berkenaan yang tidak dapat memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh berbahasa Melayu sebelum ini.

“Ingin ditegaskan bahawa pegawai-pegawai Imigresen tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan.

“Ingin saya menjelaskan bahawa dalam melaksanakan tanggungjawab, pegawai-pegawai Imigresen akan melaksanakan semakan rawak dari pelbagai aspek untuk mengesahkan permohonan (pembaharuan pasport).

“Walau bagaimanapun, semakan ini perlu dilakukan secara profesional dan berhemah serta pegawai-pegawai tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ruslin turut berkata, JIM sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan dan sentiasa mengingatkan semua untuk menyantuni pelanggan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat