Oleh: Kamilia Ali
KOTA KINABALU: Seramai 650 tahanan warganegara Filipina dihantar pulang menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) siri 15, kata Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof.
Beliau berkata kesemua PATI itu diletakkan di bawah kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 yang merupakan program pemindahan susulan.
“Kesemua PATI yang dipindahkan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Hukuman yang dikenakan juga adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar negara asal dikenakan.
“Kekerapan program pemindahan tahanan warganegara Filipina yang dilaksanakan oleh JIM Sabah juga adalah tertakluk dengan kerjasama daripada pihak kedutaan Filipina dalam mempercepatkan proses dokumentasi bagi tahanan seterusnya mengeluarkan dokumen perjalanan untuk tahanan berkenaan bagi membolehkan tahanan terlibat dipindahkan ke negara asal,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan majikan yang menggajikan pekerja asing untuk memastikan semua pekerja terlibat adalah mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sesuai untuk bekerja di Sabah.
“Semua individu yang memegang Pas Lawatan Sosial (PLS) bagi tujuan melancong tidak menyalahgunakan pas untuk tujuan lain,” jelasnya.
Difahamkan, pecahan tahanan yang dihantar pulang terbahagi kepada 415 orang lelaki, 170 wanita, 56 orang kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan sembilan orang kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah.
PATI yang terlibat adalah tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu sahaja dan seramai 3,768 orang tahanan Filipina telah dipindahkan dalam tahun 2024 melibatkan pengangkutan laut dan udara menjadikan jumlah keseluruhan ialah 5,701 orang mengikut statistik warganegara asing yang telah dipindahkan.