PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melancarkan operasi penguatkuasaan mega di sekitar Lembah Klang dalam usaha membanteras kegiatan pusat urut haram dan aktiviti tidak bermoral yang melibatkan warga asing.
Operasi yang digerakkan secara besar-besaran itu meliputi kawasan Klang, Kajang, Seri Kembangan dan Kuala Lumpur, hasil aduan awam serta risikan intensif selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya.
“Serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya selama dua minggu.
“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 72 pegawai pelbagai pangkat telah diatur gerak ke beberapa lokasi seperti yang telah ditetapkan,” kata JIM dalam satu kenyataan media pada Ahad.
JIM berkata, hasil operasi tersebut, seramai 146 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk 86 warga asing dari Myanmar, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Thailand, Pakistan dan Filipina, berusia sehingga 32 tahun.
Turut ditahan ialah tiga lelaki warga tempatan serta seorang wanita warga Vietnam yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Kesemua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen KLIA dan Bukit Jalil untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55E, 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Lebih membimbangkan, JIM turut mendedahkan bahawa premis urut haram yang diserbu menawarkan pelbagai perkhidmatan tidak bermoral bagi menarik pelanggan.
“Antaranya adalah seperti pelbagai perkhidmatan seks dan ‘water bath’ iaitu perkhidmatan mandi bersama pelanggan dengan kadar bayaran RM230 dan ke atas bergantung kepada perkhidmatan yang dikehendaki pelanggan.
Seperti kebiasaannya, premis itu akan menyediakan bilik-bilik persendirian serta ruang tertutup untuk kegunaan ‘pelanggan khusus’ tersebut,” katanya.
Dalam serbuan itu, pegawai penguat kuasa turut berdepan cabaran apabila warga asing bertindak menyembunyikan diri dalam ruangan tertutup yang direka khas, menyukarkan proses pengesanan.
Tambahan pula, terdapat provokasi daripada penjaga premis warga tempatan yang enggan memberikan kerjasama.
“JIM menegaskan pihaknya akan terus memperkukuh operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap majikan atau individu yang menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” tegasnya.







