JIM Tumpas Sindiket Penyeludupan Migran Di Seremban, Rawang

SEREMBAN: Tiga ahli sindiket penyeludupan migran bersama tiga warga Indonesia yang dipercayai migran ditahan dalam satu Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dijalankan di dua lokasi berasingan sekitar Seremban, Negeri Sembilan dan Rawang, Selangor.

Operasi yang bermula pukul 4.00 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Berdasarkan maklumat awam dan risikan, pasukan operasi digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ serta dua lelaki warga Indonesia yang berperanan sebagai ‘penjaga’ rumah penampungan.

Selain itu JIM berkata, turut ditahan seorang lelaki dan dua wanita warga Indonesia yang dipercayai migran yang akan diseludup keluar melalui laluan tidak sah. Keseluruhan tangkapan berjumlah enam orang.

“Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa menyita tiga naskhah pasport Indonesia, empat unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM4,350 yang dipercayai hasil kegiatan sindiket serta sebuah kenderaan jenis Proton Perdana yang digunakan untuk mengangkut Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),” kata JIM.

Sindiket itu dipercayai menyasarkan warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau telah tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara ini.

“Mereka diseludup masuk dan keluar melalui laluan laut yang tidak diwartakan dengan kenderaan digunakan untuk membawa migran ke rumah penampungan sementara sebelum dibawa keluar.

“Bayaran yang dikenakan kepada setiap migran ialah RM1,500,” menurut JIM.

‘Transporter’ warga Indonesia ditahan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala dua penjaga rumah penampungan ditahan di bawah Seksyen 26A akta sama.

Migran yang ditahan pula disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Jabatan Imigresen Malaysia akan terus komited dalam membanteras sebarang aktiviti penyeludupan migran dan akan mempergiatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan negara terus terpelihara,” tegas JIM.

Anda Mungkin Berminat