KLANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan eksploitasi migran selepas menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai dalang utama dalam operasi khas di sekitar Klang, Selangor.
Dalam kenyataan rasmi, JIM memaklumkan suspek berusia lingkungan 40-an itu bertindak sebagai ejen utama yang mengatur kemasukan migran dari sempadan negara sebelum ditempatkan di lokasi penampungan sementara dan seterusnya diserahkan kepada majikan tertentu.
“Suspek berperanan mengatur kemasukan migran yang diseludup dan menguruskan pergerakan mereka dari sempadan negara ke lokasi penempatan sementara sebelum diserahkan kepada majikan untuk dieksploitasi sebagai tenaga kerja,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Hasil siasatan awal dan pengakuan lisan suspek membawa kepada serbuan di sebuah bengkel mengecat kenderaan yang dijadikan rumah penampungan sementara.
“Premis itu didapati telah dijadikan sebagai rumah penampungan sementara bagi menyembunyikan migran yang baru tiba dari Pantai Timur.
“Migran dipercayai diseludup masuk melalui laluan darat yang tidak diwartakan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand,” jelas kenyataan itu.
Dalam pemeriksaan, tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 21 hingga 45 tahun ditemui tanpa sebarang rekod kemasukan sah ke Malaysia.
Mereka dipercayai dijanjikan pekerjaan dalam sektor pembinaan oleh ejen sindiket.
Selain itu, tiga lagi lelaki warga Bangladesh berusia 34 hingga 38 tahun turut ditahan kerana disyaki berperanan sebagai pengatur, penghantar dan penjaga rumah penampungan.
Sebuah kenderaan jenis Toyota Wish yang digunakan untuk mengangkut migran turut disita.
Kesemua tujuh individu dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.








