Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang (JKKP) mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta ke atas sebuah tapak projek pembinaan dewan serbaguna di Simpang Ampat, Pulau Pinang susulan seorang pekerjanya maut dihempap bumbung zink pada 20 Januari lalu.
Pejabat Pengarah JKKP negeri dalam satu kenyataan berkata, notis tersebut dikeluarkan sehingga siasatan dijalankan.
“JKKP juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada Jabatan.
“Pihak JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi semua saksi yang telah dikenal pasti,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, kejadian berkenan dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.45 pagi apabila mangsa merupakan pekerja dari syarikat sub kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja memasang bumbung pada dewan serbaguna tersebut.
Mangsa dilaporkan telah dihempap oleh bumbung yang dipindahkan dari lori dengan menggunakan kren bergerak.
“Ikatan yang mengikat zink bumbung pada cangkuk kren tersebut dilaporkan telah terbuka ketika kerja-kerja mengubah zink dan menghempap mangsa yang berada berdekatan dengan lori yang membawa bumbung zink ke tapak pembinaan tersebut.
“Mangsa segera dibawa ke hospital berdekatan dan mangsa meninggal dunia di hospital pada hari yang sama,” katanya lagi.
Susulan itu, sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kemalangan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, lawatan susulan ke premis majikan akan dijalankan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.
Tindakan perundangan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran di bawah akta ini.
Baca juga:








