KUANTAN: Satu Jawatankuasa Siasatan dilantik Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang bagi menyiasat kesahihan aduan salah laku tatakelakuan seorang pegawai perubatan di bawah seliaan pihaknya.
Menurut kenyataan rasmi JKN Pahang, pihaknya telah menerima tiga aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada 9 dan 10 April berkaitan pegawai perubatan tersebut.
“Pegawai tersebut didakwa telah berkelakuan tidak senonoh dan tidak profesional terhadap orang awam semasa bertugas di salah sebuah fasiliti kesihatan JKN Pahang.
“Jawatankuasa terbabit telah dilantik pada 10 April lalu dan siasatan sedang dijalankan mengikut prosedur ditetapkan.
“Tiada kenyataan lanjut akan dikeluarkan sehingga siasatan selesai bagi menjaga integriti proses penyiasatan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Dalam pada itu, JKN Pahang juga menasihati orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan.
Katanya, pasukan siasatan boleh dihubungi menerusi talian 09-570 7836 / 7835 / 7847 yang dikendalikan oleh Urus Setia Induk Aduan dan Unit Sumber Manusia JKN Pahang.
Sebelum ini, tular di aplikasi X dakwaan mengenai seorang doktor terkenal di TikTok yang didakwa berkelakuan tidak senonoh terhadap beberapa individu.
Pendedahan pengguna di X mendakwa laporan terhadap doktor tersebut telah wujud sejak 2023, namun hanya kini mendapat perhatian meluas.
Antara dakwaan serius yang dibangkitkan termasuk permintaan gambar seksi daripada mangsa serta cubaan memujuk mangsa menarik semula laporan polis selepas ‘kantoi’ melakukan perbuatan tidak senonoh.