JKN Sabah, Sarawak gerakkan pasukan rawat mangsa banjir

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dan Sabah telah menggerakkan pasukan perubatan dan kesihatan ke semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) negeri. 

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, seramai 9,379 mangsa telah diperiksa dan diberikan rawatan sepenuhnya. 

“Daripada jumlah itu, kes penyakit berjangkit yang dilaporkan adalah 671  kes jangkitan salur pernafasan akut, 82 kes jangkitan kulit, 37 kes  gastroenteritis akut, 17 kes konjunktivitis, dan satu (1) kes Penyakit  Tangan, Kaki, dan Mulut.

“Tiada kes Chicken Pox, Tifoid, Leptospirosis, COVID-19, dan kejadian wabak dilaporkan di PPS,” katanya.

Hal itu susulan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bahawa Amaran Hujan Berterusan Peringkat Waspada (Kuning) bagi Sarawak di bahagian Barat.

Dijangka kejadian itu akan berlaku bermula 4 Februari (Selasa) sehingga 5 Februari (Rabu).

Dalam laporan sama, terdapat peningkatan bilangan mangsa banjir pada 2 Februari 2025 pada jam 7 petang, iaitu seramai 13,862 orang dengan PPS yang aktif meningkat kepada 73.

“Oleh itu, kami (KKM) menasihatkan masyarakat untuk sentiasa mengutamakan keselamatan, menjaga kebersihan diri dan makanan, serta mengambil langkah bersesuaian untuk mencegah penyakit berjangkit. 

“Orang ramai perlu sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, memantau maklumat cuaca terkini, serta menyiapkan peralatan dan dokumen penting yang perlu dibawa bersama sekiranya perlu berpindah.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan dengan  segera sekiranya menghadapi tekanan emosi,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat