JKPK bantu redakan Ahli Parlimen berbalah, gaduh di dewan rakyat – Johari Abdul

KUALA LUMPUR: Penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Rakyat sejak dua tahun lalu berjaya meredakan ketegangan antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, kejayaan tersebut dicapai kerana setiap JKPK dianggotai oleh 10 Ahli Parlimen yang mewakili kedua-dua blok politik.

“Apa sahaja keputusan yang dibuat dalam JKPK perlu diterima pakai oleh semua. Bila mereka menjadi ahli JKPK, segala keputusan adalah keputusan bersama,” katanya memetik portal berita tempatan hari ini.

Kata Johari lagi, sebelum penubuhan JKPK beliau pernah mencadangkan agar Ahli Parlimen yang sering bertelagah di Dewan Rakyat dibawa berbincang secara santai di kafe Parlimen sebagai usaha meredakan ketegangan.

Johari turut menekankan keperluan semua Ahli Parlimen untuk membawa suara rakyat ketika berada di Dewan Rakyat, bukan agenda parti.

“Itu yang saya cuba lakukan, tetapi ia bukan mudah. Ada baik dan buruknya, seperti yang saya pernah katakan sebelum ini – jika ada dinding penghalang, kita perlu runtuhkannya untuk mencari penyelesaian,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pejabat Speaker telah membiayai beberapa seminar yang dianjurkan oleh ketua-ketua KPK sebagai sebahagian daripada usaha mendekati rakyat melalui sesi libat urus bersama komuniti.

Antara seminar yang telah dianjurkan termasuk mengenai lembu sado hibrid dan isu berkaitan air bawah tanah. Seminar berkaitan perumahan rakyat pula dijangka dianjurkan dalam masa terdekat.

JKPK yang ditubuhkan meliputi pelbagai bidang termasuk JKPK Kewangan dan Ekonomi; JKPK Kesihatan; JKPK Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian; JKPK Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi; serta JKPK Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia.

Turut tersenarai ialah JKPK Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat; JKPK Alam Sekitar, Sains dan Perladangan; JKPK Keselamatan; JKPK Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa; serta JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat