JKR keluarkan notis penutupan Jalan Kuantan-Segamat

Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan notis bahawa Laluan Jalan Kuantan-Segamat (FT012) ditutup selama tiga minggu sehingga 28 Januari ini bagi semua jenis kenderaan ekoran kejadian jalan mendap di Seksyen 102.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Jurutera Daerah JKR Pekan, Pahang, penutupan jalan tersebut adalah untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan jalan oleh pihak JKR.

Terdapat beberapa jalan alternatif yang dapat digunakan oleh pengguna jalan raya dari Kuantan, Gambang dan Muadzam Shah.

Laluan alternatif yang dicadangkan dari laluan Kuantan ke Muadzam Shah telah dilencongkan ke Laluan Persekutuan FT03 (Kuantan-Endau melalui Bandar Pekan) dan Laluan FT63 (Leban Condong-Muadzam Shah).

Jika pengguna dari arah Gambang ke Muadzam Shah, laluan alternatif yang digunakan ialah lencongan ke laluan FT82 (Pekan Batu Balek) ke Laluan Persekutuan FT03 (Kuantan-Endau).

Bagi pengguna dari arah Muadzam ke Kuantan pula, laluan alternatif yang dicadangkan pihak JKR ialah lencongan ke FT63 (Leban Condong-Muadzam Shah) ke Laluan Persekutuan FT03 (Kuantan-Endau).

Anda Mungkin Berminat