Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bakal menggantikan dan menjalankan sepenuhnya tugas serta fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang berkuatkuasa serta merta.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi satu kenyataan media hari ini yang memberitahu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju dan memaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang bersidang pada Rabu lalu.
“Perdana Menteri memaklumkan Jemaah Menteri yang bersidang pada 9 Julai 2025 bahawa beliau bersetuju supaya Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa serta-merta,” katanya menerusi kenyataan tersebut,” katanya.
Sebelum ini, jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengalami kekosongan susulan peletakan jawatan Nik Nazmi Nik Ahmad pada 4 Julai lalu.
Nik Nazmi memaklumkan peletakan jawatan itu adalah kerana gagal mempertahankan jawatannya dalam pemilihan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada bulan lalu yang mana ia menjadi pertimbangan utama dalam pelantikan ke kabinet.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat saya cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini,” katanya.
Baca juga: