Johari Ghani Ketuai Pasukan Khas UMNO Teliti RUU PSB

PETALING JAYA: UMNO mengambil langkah strategik dalam menangani isu pembaharuan bandar dengan melantik Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai ketua Pasukan Khas UMNO bagi meneliti secara mendalam Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB).

Pelantikan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menjelaskan bahawa pasukan khas tersebut diberi mandat untuk mengkaji semua aspek berkaitan RUU berkenaan sebelum ia dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk perbincangan lanjut.

Menurut beliau, hasil kajian pasukan khas ini akan menjadi asas utama kepada Konvensyen Melayu Bandar yang dijadual berlangsung hujung September ini.

“Konvensyen ini akan menghimpunkan kepimpinan UMNO dari negeri dan bahagian seluruh Malaysia, selain melibatkan parti politik Melayu, NGO, ahli akademik serta masyarakat sivil,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Asyraf, konvensyen tersebut akan merumuskan resolusi khusus berkaitan RUU PSB yang kemudiannya akan diserahkan terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai input dasar yang mewakili suara akar umbi Melayu bandar.

“Pelantikan Johari sebagai ketua pasukan khas ini diyakini dapat membawa input bernas dan pengalaman luas beliau dalam bidang ekonomi serta pembangunan bandar,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa perbahasan serta pengundian RUU PSB 2025 telah ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat akan datang pada Oktober.

Anda Mungkin Berminat