Johor Bahru, Segamat, Batu Pahat Antara Lokasi Dijangka Landa Banjir

JOHOR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan negeri Johor dijangka mengalami banjir bermula Ahad sekitar pukul 4 petang sehingga 17 Disember jam 11 malam.

Menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air sungai di negeri itu diramalkan meningkat dan berpotensi melepasi aras bahaya.

Antara daerah yang dijangka terjejas termasuk Segamat, Mersing, Muar, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Pontian dan Johor Bahru.

Di Kota Tinggi, kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer sekitar Lembangan Sungai Johor berisiko dinaiki air.

Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Bandar Kota Tinggi, Batu 25 Jalan Johor, Kampung Jawa, Kampung Kelantan, Kampung Panti, Kampung Sepak Hulu dan Sepak Hilir, Kampung Temenin, Kampung Batu 4, Lorong Bahagia Kampung Lukut serta beberapa kawasan perumahan seperti Taman Aman, Taman Kuso dan Taman Kemang.

Kawasan sekitar Lembangan Sungai Sedili Besar dan Sungai Lebam turut berisiko termasuk Taman Desaru Utama dan Taman Penawar Harmoni.

Di Mersing, kawasan rendah berhampiran Lembangan Sungai Mersing seperti Kampung Air Merah, Kampung Pengkalan Batu dan Taman Sri Bayu dikenal pasti berisiko.

Selain itu, kawasan sekitar Lembangan Sungai Endau, Sungai Jemaluang dan Sungai Tenglu Besar termasuk beberapa kampung serta penempatan nelayan turut berdepan kemungkinan banjir.

Sementara itu di Johor Bahru, kawasan rendah sekitar Lembangan Sungai Tebrau, Sungai Johor dan Sungai Masai dijangka terjejas.

Antara kawasan yang berisiko termasuk Kampung Melayu Majidee, Kampung Plentong Baru, Kampung Rinting serta beberapa kawasan di Tebrau dan Masai.

PRABN berkata, banjir berkemungkinan berlaku lebih awal atau lewat daripada jangkaan bergantung kepada intensiti hujan semasa.

Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada, memantau maklumat terkini daripada pihak berkuasa dan bersedia berpindah sekiranya diarahkan.

Anda Mungkin Berminat