Oleh: Aliyaa Azmi
JOHOR BAHRU: Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 yang sepatutnya diadakan pada hujung November tahun lalu terpaksa ditangguhkan berikutan bencana banjir yang melanda beberapa negeri serta isu pentadbiran melibatkan pembayaran deposit.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan untuk menangguhkan kongres dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa yang tidak mengizinkan dan memerlukan penyelarasan pentadbiran yang lebih teratur.
“Kita sebenarnya sepatutnya adakan kongres pada hujung November lalu, tapi kita tangguhkan kerana banjir. Dari segi pentadbiran pula, ada hal berkaitan deposit dan bayaran. Maka kita teruskanlah di Johor,” katanya dalam sidang media selepas sidang media sesi taklimat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Johor dipilih sebagai lokasi penganjuran kongres tahun ini kerana negeri itu dilihat sebagai kawasan strategik dan penting bagi PKR menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Memang tak boleh dinafikan, Johor adalah sebuah negeri yang sangat penting. Ia menyumbang jumlah kerusi yang signifikan untuk Keadilan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Jelas beliau, keputusan memilih Johor telah dibuat lebih awal oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti selepas mempertimbangkan beberapa faktor termasuk keperluan pentadbiran dan kedudukan negeri itu yang dilihat berpotensi sebagai antara tumpuan utama parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Baca juga:








