JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh komitmennya terhadap kesejahteraan rakyat dengan memperluaskan Program Bangsa Johor Bahagia (BJB) khususnya di kawasan penempatan kos rendah.
Perkara itu dipersembahkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dalam sesi menghadap di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada Isnin.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor serta Ketua Projek BJB, Prof SR Dr Maimunah Sapri.
“Program BJB merupakan ilham Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Kerajaan Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, program itu telah mencatat kejayaan melalui pelaksanaan projek komuniti perintis BJB1.0 di Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai, sebelum diperluaskan ke Flat Plentong Utama (BJB2.0) tahun ini.
Fasa ketiga, BJB 3.0, bakal diteruskan di Flat Larkin (Johor Bahru) dan Flat Temenggong (Kulai) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPKJ).
Program kali ini akan memberi tumpuan kepada peningkatan taraf sosioekonomi, pembangunan remaja, pengukuhan komuniti serta penerapan nilai warisan Bangsa Johor selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk membentuk masyarakat yang harmoni, berdaya maju dan saling menyokong.








