Jojo Bukan Sekadar Juara, Tapi Inspirasi Bangsa – Anwar

KUALA LUMPUR: Dalam suasana penuh semangat dan kebanggaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Johan Ghazali atau lebih mesra dikenali sebagai Jojo, atlet Muay Thai muda yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Menurut Anwar, kejayaan Jojo bukan sekadar mencatat sejarah dalam arena sukan tetapi turut menyuntik semangat baharu kepada generasi muda Malaysia.

“Keazaman, disiplin dan semangat juang yang ditunjukkan oleh saudara Jojo mencerminkan nilai sebenar seorang anak muda Malaysia yang tidak mudah mengalah dalam mengejar impian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jojo, yang mula dikenali selepas mencatat kemenangan bergaya dalam beberapa kejohanan Muay Thai antarabangsa, bukan sahaja menunjukkan prestasi luar biasa di gelanggang, malah aktif menyuarakan isu sosial yang dekat di hati anak muda termasuk kempen membanteras budaya buli.

“Lebih membanggakan, saudara Jojo turut aktif menyuarakan pandangan dan menyertai kempen kesedaran bagi membanteras budaya buli serta menyuntik inspirasi kepada anak muda untuk membina keyakinan diri, keteguhan jati diri dan semangat positif dalam kehidupan seharian,” katanya.

Anwar berkata, kejayaan Jojo menjadi simbol harapan dan bukti bahawa dengan semangat, disiplin dan sokongan padu anak muda Malaysia mampu menakluk dunia.

Perdana Menteri turut menyatakan keyakinan bahawa lebih ramai atlet muda akan bangkit membawa nama negara ke persada antarabangsa.

“Saya yakin dengan semangat dan dukungan berterusan, lebih ramai atlet muda akan lahir untuk mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut mengimbau kata-kata ikonik mantan Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy, sebagai peringatan kepada generasi muda tentang pentingnya semangat patriotisme dan tanggungjawab sosial.

“Kata mantan Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy, ‘ask not what your country can do for you but ask what you can do for your country’ yang menyemai budaya kecintaan kepada negara dan semangat kolektif membangun negara dan masyarakat,” ujarnya.

Anwar turut menyampaikan ucapan tahniah yang penuh penghargaan kepada Jojo atas kejayaan dan komitmennya terhadap negara dan masyarakat.

“Tahniah Jojo atas kejayaan dan komitmen terhadap negara dan masyarakat.

“Justeru, teruskan usaha gigih saudara (Jojo) yang menyinar serta meniup inspirasi kepada generasi muda yang cinta serta mahu menyumbang pada negara.

“Tahniah sekali lagi buat saudara Jojo!” katanya.

Anda Mungkin Berminat