Jokowi, anak dan menantu dipecat dari PDIP

JAKARTA: Parti Demokrasi Indonesia (PDIP) secara rasmi mengumumkan Joko Widodo (Jokowi), anaknya, Rakabuming Raka dan menantunya, Bobby Nasution serta 27 pengikut yang lain dipecat dari parti itu.

Pengumuman pemecatan itu disampaikan oleh Ketua Bidang Kehormatan Dewan Pimpinan Pusat PDIP, Komarudin Watubun, lapor CNN Indonesia.

Dikeluarkan di Jakarta, surat berkenaan bertarikh 14 Disember 2024 dan ditandatangani oleh Ketua Umum Megawati Soekarnoputri dan Setiausaha Agung Hasto Kristiyanto.

Komarudin berkata, beliau menerima arahan langsung daripada Ketua Umum PDIP untuk mengumumkan perkara berkenaan.

“DPP Parti akan mengumumkan surat keputusan pemecatan terhadap Joko Widodo, Gibran Rakabuming Raka dan Bobby Nasution beserta 27 anggota lain.

“Keputusan itu melarang mereka untuk tidak melakukan kegiatan dan menduduki sebarang jawatan atas nama PDIP,” katanya dipetik sebagai berkata.

Terdahulu, Jokowi yang ditemui media memberi respons berkaitan kemungkinan pemecatan dirinya dan keluarganya oleh PDIP.

Apabila dimaklumkan dirinya yang bakal tidak berada dalam sebarang parti politik, Jokowi secara ringkas menyebut ia soal ‘parti perorangan’.

Sementara itu, CNN Indonesia antara lain mentafsirkan perkara yang dimaksudkan Jokowi itu adalah mengenai hasrat peribadinya untuk terus berkecimpung dalam politik meskipun kelak tidak mewakili mana-mana parti.

Pada 4 Disember lalu, Hasto Kristiyanto yang ditemui pemberita di Jakarta Selatan pernah memberi kenyataan mengenai soal status keanggotaan Jokowi. Hasto menegaskan Jokowi sudah bukan lagi daripada PDIP.

“Jokowi dan keluarganya sudah tidak lagi sejalan dengan cita-cita parti. PDIP melihat Jokowi dan keluarganya memiliki cita-cita kekuasaan yang tiada henti. Selain itu, amalan politik yang dijalankan Jokowi dan keluarganya harus menjadi pengajaran berharga kepada semua pihak untuk menjalankan disiplin parti,” kata Hasto memetik laporan Kompas.com.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat