JPA: Gaji permulaan terendah penjawat awam kini RM1,500 sebulan

Oleh: Farah Faizal

PUTRAJAYA: Kerajaan mengutamakan prestasi perkhidmatan awam dan mendahulukan kebaikan penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Disember ini.

JPA menerusi satu kenyataan pada Jumaat berkata, SSPA mengandungi roh dan semangat reformasi perkhidmatan awam bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI termasuk meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan dan meningkatkan daya saing negara.

“SSPA merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan ole kerajaan untuk memperbaharui dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, JPA berkata fokus SSPA tertumpu kepada aspek meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam, menangani pendapatan yang tidak seiring dengan kos sara hidup serta mengukuhkan kemampanan fiskal negara.

JPA berkata melalui SSPA, kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan menerusi pengukuhan elemen-elemen perkhidmatan awam iaitu pengoptimuman sumber dan peningkatan produktiviti, pengurusan dan pembangunan modal insan, pengukuhan kepimpinan, pengukuhan tatakelola dan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan.

SSPA dirangka sebagai satu sistem saraan yang berteraskan kepada aspek prestasi selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan.

JPA memaklumkan kerajaan turut komited dalam memastikan nasib penjawat awam sentiasa terbela dengan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan Fasa 2 pada 1 Januari 2026.

JPA turut memaklumkan, kerajaan bersetuju supaya Gaji Permulaan Terendah (GPT) dalam perkhidmatan awam ditambah baik kepada RM1,500 sebulan.

“Gaji penjawat awam yang sedang berkhidmat akan diselaraskan pada 1 Disember 2024, manakala penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pengiktirafan kepakaran diberikan kepada pegawai yang berkelayakan sebagai pegawai Subject Matter Expert (SME) dilaksanakan melalui urusan pemangkuan atau kenaikan pangkat tanpa kekosongan secara Khas Untuk Penyandang (KUP) dari Gred 48 hingga ke Gred Khas C.

Difahamkan, perincian berhubung pelarasan gaji dan pengukuhan elemen-elemen perkhidmatan awam akan dikeluarkan.

Pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan bersetuju agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) diganti kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024.

Anda Mungkin Berminat