JPA Nafi Dakwaan CUEPACS 30,000 Pekerja Kontrak Tanpa SPM Ditamatkan

PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan dakwaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bahawa seramai 30,000 pekerja kontrak tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditamatkan perkhidmatan pada 12 Februari lalu.

JPA menegaskan, pihaknya tidak mengeluarkan arahan bagi menamatkan kontrak secara besar-besaran terhadap pegawai yang tidak memiliki SPM.

“Pengurusan kontrak pegawai lantikan (CoS) adalah berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan dan persetujuan kedua-dua pihak.

“Kelulusan CoS di bawah peruntukan OS29000 untuk tahun 2024 bagi kakitangan yang tidak memiliki SPM hanyalah 2,037 orang.

“Sehingga 13 Februari lepas, 108 permohonan daripada pelbagai agensi untuk kelonggaran syarat skim perkhidmatan bagi melantik semula pegawai kontrak yang tidak memiliki SPM susulan daripada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA),” menurut kenyataan itu pada Selasa.

JPA memaklumkan, daripada jumlah tersebut, 83 permohonan telah diluluskan, manakala 25 permohonan tidak dapat dipertimbangkan kerana pegawai masih dalam tempoh kontrak atau lantikan sebelum ini tidak teratur.

Menurut JPA, pelaksanaan SSPA telah menetapkan bahawa 14 skim perkhidmatan yang sebelum ini menerima kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dinaik taraf kepada kelayakan masuk SPM.

“Namun, ini tidak bermakna pegawai awam yang sedang berkhidmat dengan kelayakan PMR atau PT3 perlu ditamatkan kontrak.

“Keputusan ini juga bertepatan dengan perubahan sistem pendidikan negara, yang tidak lagi melaksanakan peperiksaan PMR dan PT3. Dengan pemansuhan PMR dan PT3, SPM kini menjadi taraf pendidikan terendah yang melayakkan seseorang untuk memasuki perkhidmatan awam,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan sentiasa terbuka untuk berbincang dengan semua pihak, termasuk Cuepacs bagi mencari penyelesaian terbaik yang adil kepada semua pihak terlibat.

Ini kerana jelasnya, keutamaan Kerajaan adalah memastikan tenaga kerja dalam perkhidmatan awam diselaraskan dengan keperluan semasa, sambil memastikan kebajikan pegawai kontrak terus dijaga.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat