PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia akan membuka kaunter tambahan dan melanjutkan waktu operasi Kaunter Lesen Memandu serta Kaunter Pelbagai pada hujung minggu, iaitu Sabtu dan Ahad, bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Langkah itu berkuat kuasa dari 27 September hingga 26 Oktober 2025 di semua pejabat JPJ negeri dan cawangan di seluruh negara, sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pelaksanaan Sistem Subsidi Bersasar Petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI RON95).
“Selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan Sistem Subsidi Bersasar Petrol Budi MADANI RON95 (BUDI RON95).
“Inisiatif ini memberikan lebih ruang dan fleksibiliti kepada orang ramai khususnya mereka yang mempunyai kekangan masa pada hari bekerja untuk memperbaharui lesen memandu,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Difahamkan, kira-kira 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) berada dalam status tidak aktif kerana telah tamat tempoh melebihi tiga tahun, manakala 15.2 juta lagi merupakan pemegang lesen CDL aktif.
Sehubungan itu, JPJ mengingatkan bahawa individu yang lesen memandunya telah tamat tempoh melebihi tiga tahun diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP 02 dan KPP 03) di mana-mana Institut Memandu (IM) berdekatan untuk mendapatkan semula kelayakan memandu.
“Sementara itu, pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun adalah diseru untuk segera memperbaharui lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk tanpa perlu hadir ke kaunter secara bersemuka,” ujarnya.
JPJ menzahirkan keyakinan bahawa pelaksanaan inisiatif ini akan membantu rakyat memanfaatkan program subsidi bersasar yang diumumkan kerajaan dengan lebih menyeluruh serta memastikan kelancaran proses pengesahan identiti melalui MyKad.