JPJ Galak Urusan Digital, Bantu Rakyat Jimat Kos Petrol

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggalakkan orang ramai memanfaatkan perkhidmatan digital bagi melaksanakan urusan tanpa perlu hadir ke kaunter, sekali gus membantu menjimatkan kos petrol.

Langkah itu diambil susulan situasi global semasa yang menyaksikan kenaikan harga petroleum akibat ketegangan di Timur Tengah yang memberi tekanan kepada pasaran minyak dunia.

Menurut JPJ, konflik berlarutan di rantau itu yang menjadi laluan kira-kira 20 peratus bekalan petroleum dunia telah menyebabkan peningkatan harga minyak mentah, sekali gus memberi kesan kepada harga bahan api di Malaysia.

Sehubungan itu, pendekatan “urusan di hujung jari” dilihat sebagai langkah praktikal dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

“Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan pelanggan, malah membantu menjimatkan kos petrol, mengurangkan masa perjalanan serta mengelakkan kesesakan di pejabat JPJ,” menurut kenyataan jabatan itu pada Ahad.

JPJ memaklumkan sebanyak 33 jenis urus niaga boleh dilaksanakan melalui portal rasminya, manakala 16 lagi urusan boleh dibuat menerusi aplikasi MyJPJ.

Orang ramai disaran menggunakan kemudahan berkenaan bagi urusan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal ke kaunter.

JPJ berkata pihaknya akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan digital selaras dengan aspirasi kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan mesra rakyat.

Inisiatif itu juga dilihat mampu menyokong usaha penjimatan tenaga serta mengurangkan penggunaan bahan api dalam kalangan masyarakat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat