PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MoT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meningkatkan penggunaan teknologi bagi tujuan penguatkuasaan dan pengawasan trafik sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini, termasuk penggunaan dron berteknologi tinggi.
Langkah itu dilaksanakan menerusi pelbagai peralatan digital seperti kamera tindakan penguatkuasaan (EAC), kamera badan (BWC), peranti penguatkuasaan pengurusan pintar (SmED) serta kamera papan pemuka sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 yang berlangsung selama dua minggu sehingga 29 Mac ini.
Setiausaha Bahagian Darat MoT, Datuk Mohamed Irwan Mansor berkata, penggunaan teknologi berkenaan turut dipertingkatkan sepanjang tempoh larangan kenderaan berat menggunakan jalan raya iaitu pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac.
Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan dengan sasaran sekurang-kurangnya penurunan 10 peratus berbanding tahun lalu.
“Kepadatan trafik yang tinggi meningkatkan risiko interaksi antara kenderaan ringan dengan kenderaan berat yang memerlukan jarak membrek lebih panjang selain mempunyai titik buta lebih besar.
“Justeru, larangan kenderaan berat menggunakan jalan raya pada tempoh tertentu dilaksanakan dengan mengambil kira peningkatan ketara jumlah kenderaan persendirian apabila ramai pulang ke kampung halaman,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Ahad.
Beliau berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan larangan itu, JPJ tidak melaksanakan sekatan jalan raya bagi mengelakkan kesesakan di laluan utama sekali gus memastikan kelancaran trafik.
Tambahnya, sepanjang pelaksanaan larangan itu, tiada pendekatan sekatan jalan raya dilaksanakan JPJ, bertujuan mengelakkan kesesakan di laluan utama, sekali gus memastikan kelancaran trafik terus menjadi keutamaan.
Mengenai tindakan penguatkuasaan sepanjang musim perayaan, terutama tempoh larangan kenderaan berat menggunakan jalan raya, beliau memaklumkan, semua notis saman manual turut didaftarkan dalam sistem mySIKAP dalam tempoh 24 jam bagi memastikan ketelusan.
Baca juga:






